KUALA LUMPUR: Sebarang tuduhan salah guna kuasa yang melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mesti ditangani secara terbuka dan berasaskan undang-undang supaya keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan tidak terhakis.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, siasatan dan penahanan yang dilakukan terhadap individu tertentu bukan mencerminkan kegagalan sistem, sebaliknya menunjukkan mekanisme kawalan dalaman sedang berfungsi.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ATM tidak boleh dinilai secara keseluruhan hanya kerana kes terpencil, memandangkan majoriti anggotanya terus berkhidmat dengan disiplin dan kesetiaan tinggi.
“Jangan padam jasa dan pengorbanan ribuan anggota hanya kerana kesalahan segelintir yang mengkhianati amanah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025.
Tambah beliau, pendirian UMNO jelas, tiada ruang untuk rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dalam mana-mana institusi keselamatan, dan sesiapa yang bersalah mesti dihadapkan ke muka pengadilan.
Mengulas kebimbangan awam terhadap integriti pasukan keselamatan, Mohamed Khaled berkata perkara itu wajar dilihat dari sudut keberkesanan penguatkuasaan, bukan kelemahan institusi.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan kebajikan veteran ATM kekal menjadi agenda kerajaan, dengan beberapa program baharu sedang dirancang bagi memastikan bekas anggota terus terbela selepas bersara.










