PRU-16: UMNO Ikrar Bangkit Sebagai ‘Induk’ BN, Menang Atas Kepercayaan Rakyat

KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan akan mengharungi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sebagai Barisan Nasional (BN) yang berdiri atas kekuatan sendiri, bukan bergantung kepada ihsan mana-mana pihak.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sasaran utama parti itu ialah memenangi pilihan raya melalui keyakinan rakyat terhadap rekod, pengalaman dan keupayaan UMNO mentadbir negara.

Berucap ketika merasmikan mesyuarat serentak Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), beliau menegaskan UMNO mahu kembali muncul sebagai pasukan dominan yang diyakini rakyat.

“Kita tidak mahu menang kerana belas ihsan sesiapa, tetapi kerana rakyat percaya UMNO paling berpengalaman mengurus negara,” katanya yang disambut tepukan perwakilan.

Mengulas tanggapan segelintir pihak yang meramalkan PRU-16 sebagai ‘penghujung’ UMNO, Mohamad menegaskan parti itu mungkin pernah tumbang, namun tidak pernah lenyap.

Beliau menggesa seluruh jentera parti supaya kembali ke akar umbi, merapatkan saf dan memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita tidak turun ke gelanggang sebagai penumpang atau sekadar kawan, tetapi untuk kembali menjadi induk dalam politik tanah air,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles