MELAKA: Dakwaan tular mengenai sebuah hotel berkonsepkan ‘mesra gay’ membawa kepada serbuan pihak berkuasa tempatan dan agama semalam, namun hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut kosong tanpa sebarang penghuni.
Operasi sekitar jam 11 pagi itu dijalankan bersama oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan laporan bahawa premis berkenaan dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral.
Yang Dipertua MPHTJ, Sapiah Harun berkata, hotel yang mempunyai 37 bilik itu didapati tidak berkunci serta tiada penjaga, pekerja atau pelanggan ketika serbuan dilakukan.
“Pengurus dan kakitangan hotel yang cuba dihubungi juga enggan hadir ke premis semasa operasi dijalankan,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan JAIM turut menemukan bekas kondom yang telah digunakan di dalam tong sampah salah sebuah bilik, sekali gus menguatkan keperluan siasatan lanjut terhadap premis tersebut.
Susulan itu, lesen perniagaan hotel dibawa ke pejabat MPHTJ untuk tindakan lanjut, manakala Jabatan Penguatkuasaan (JPK) memasang tali keselamatan bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan premis sehingga pemilik tampil memberi penjelasan.
“Pemeriksaan ini adalah sebahagian daripada usaha penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga sensitiviti dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Tambah Sapiah, MPHTJ akan terus memantau perkembangan kes itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas, termasuk menarik balik lesen, sekiranya pemilik gagal memberi kerjasama.
Terdahulu, dakwaan mengenai sebuah hotel ‘mesra gay’ di Melaka tular di media sosial sejak semalam dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.










