PUTRAJAYA: Kerajaan Madani akan terlibat secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijangka disertai lebih 80 negara dari seluruh dunia, sebagai usaha memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan kerajaan dalam misi itu merupakan kesinambungan perjuangan moral di peringkat antarabangsa yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan serta nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengira sempadan, bangsa dan agama.
“Insya-Allah, kita akan menggerakkan seluruh kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh terus ditangguhkan demi tertegaknya sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Komitmen tersebut dinyatakan Anwar selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) merangkap Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby Abdul Halim, bersama Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri, di pejabatnya, semalam.
Menurut Anwar, beliau dimaklumkan mengenai keadaan kemanusiaan di Gaza yang semakin kritikal akibat sekatan bantuan berpanjangan, ketidaktentuan konflik serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.
Dalam pertemuan itu, Sani dan Nadir turut berkongsi kejayaan Misi Sumud Nusantara sebelum ini yang berjaya memecahkan kebisuan masyarakat antarabangsa serta membawa suara rakyat Gaza ke pentas dunia.
Anwar menegaskan, kerajaan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha kemanusiaan global bagi memastikan isu Palestin kekal diberi perhatian dan tindakan nyata dapat digerakkan demi mempertahankan keadilan sejagat.










