Hamzah Desak Penguatkuasaan Tegas Isu LGBT, Penternakan Babi Ikut Titah Sultan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan penguatkuasaan undang-undang terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta penternakan babi perlu dilakukan secara tegas tanpa sebarang kompromi, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, titah baginda mencerminkan kebijaksanaan Raja Berperlembagaan yang berteraskan agama, kepentingan awam dan keharmonian masyarakat, justeru tidak wajar dianggap sekadar peringatan moral.

“Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor yang menzahirkan pendirian tegas terhadap isu LGBT dan penternakan babi di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah merujuk titah Sultan Selangor yang mahu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti melibatkan gaya hidup LGBT, yang turut ditentang keras oleh baginda.

Beliau menegaskan, titah itu menuntut tindakan nyata daripada kerajaan negeri dan agensi penguat kuasa, bukan sekadar kenyataan atau alasan pentadbiran.

“Prinsip toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan perkara yang bercanggah dengan agama, nilai masyarakat dan undang-undang,” katanya.

Mengulas isu penternakan babi, Hamzah berkata ia mesti dikawal ketat mengikut peraturan sedia ada bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan sensitiviti penduduk.

“Semua peraturan berkaitan alam sekitar, guna tanah dan kesihatan awam perlu dikuatkuasakan sepenuhnya, bukan hanya di atas kertas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles