KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad memfailkan saman pemula terhadap kerajaan bagi mencabar pertuduhan dikenakan ke atasnya berhubung penyertaan dalam perhimpunan berkaitan pengosongan Kampung Sungai Baru, September tahun lalu.
Zaharudin, 50, memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember menerusi Tetuan Daim & Gamany dengan menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan dokumen mahkamah, beliau memohon perisytiharan bahawa pertuduhan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak berhimpun secara aman.
Plaintif turut mendakwa seksyen berkenaan bertentangan dengan Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan kerana menjejaskan hak perbicaraan adil serta prinsip kesaksamaan undang-undang, sekali gus menjadikannya tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 19 Januari ini.
Sementara itu, peguamnya, Latheefa Koya berkata peruntukan undang-undang tersebut bersifat lapuk dan jarang digunakan, apatah lagi terhadap aktivis yang menyuarakan isu rakyat.
Zaharudin pula menegaskan kehadirannya di Kampung Sungai Baru sekadar membantu penduduk yang terkesan dan bukan bertujuan menganjurkan perhimpunan.










