KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan sebagai penghubung antara UMNO dan PAS dalam usaha menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN), pakatan politik yang pernah menyatukan dua parti Melayu terbesar negara itu sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, pengalaman lalu membuktikan perpecahan antara UMNO dan PAS hanya melemahkan usaha penyatuan orang Melayu, sekali gus membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.
Menurutnya, kegagalan mengekalkan kesatuan Melayu memberi kesan langsung kepada sentimen dan keresahan di peringkat akar umbi.
Justeru, beliau menegaskan kedua-dua parti perlu kembali ke meja rundingan dan berganding bahu demi membina kekuatan politik Melayu yang lebih kukuh.
“Kita sudah belajar daripada kesilapan lalu. Apabila UMNO dan PAS berpecah, penyatuan Melayu hampir tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Khas Pemuda UMNO.
Mengulas kemungkinan penyertaan Bersatu dalam MN, Dr Akmal berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, namun menegaskan keutamaan ketika ini adalah penyatuan UMNO dan PAS.
Jelasnya, hanya selepas asas kerjasama dua parti itu kukuh, barulah ruang boleh dibuka kepada parti lain untuk turut serta.
Seruan itu hadir seiring gesaan pimpinan PAS, termasuk Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor, yang mahu MN dihidupkan semula menjelang pilihan raya akan datang demi kestabilan politik dan kekuatan sokongan di peringkat akar umbi.










