Panglima Tentera Darat Cuti Serta-Merta, Beri Laluan Siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah pentadbiran bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan tertentu yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus, lancar dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

“Langkah ini diambil bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan yang telah dibangkitkan, selain memastikan proses tersebut berjalan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan sejak 2023 membabitkan beberapa projek Tentera Darat Malaysia (TDM), susulan dakwaan berkaitan aliran masuk wang ke dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera.

Menurut sumber, siasatan tersebut tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan tentera berkenaan.

Beliau menegaskan semua siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pertahanan turut memaklumkan bahawa Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik sebagai Pemangku Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan itu susulan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang telah mencapai umur persaraan wajib.

Mohamed Khaled berkata, kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, kepimpinan dan jasa Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM, selain mendoakan kelancaran segala urusan beliau selepas persaraan.

BBerkaitan

Latest articles