Thailand–Kemboja Setuju Gencatan Senjata Serta-Merta

KUALA LUMPUR: Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta, sekali gus membuka laluan ke arah penamatan konflik bersenjata yang berlarutan di kawasan sempadan kedua-dua negara sejak beberapa minggu lalu.

Menerusi satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan komitmen untuk menghentikan sepenuhnya pertempuran yang mengorbankan nyawa dan menjejaskan keselamatan penduduk awam di kawasan terlibat.

Menurut kenyataan itu, gencatan senjata berkenaan berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari waktu tempatan, 27 Disember, sejurus dokumen persefahaman ditandatangani oleh wakil kedua-dua negara.

“Persetujuan ini merangkumi pemberhentian penggunaan semua bentuk senjata tanpa sebarang pengecualian, termasuk serangan terhadap orang awam, harta awam, infrastruktur serta sasaran ketenteraan di kedua-dua belah pihak,” menurut kenyataan tersebut.

Ia turut menegaskan bahawa gencatan senjata berkenaan terpakai di semua kawasan konflik sepanjang sempadan Thailand-Kemboja, sebagai langkah awal meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan serantau.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Sempadan Jeneral kedua-dua negara dan dimaklumkan kepada umum melalui pihak berkuasa Kemboja, menandakan satu perkembangan penting dalam usaha diplomatik menyelesaikan konflik berpanjangan antara dua negara jiran Asia Tenggara itu.

BBerkaitan

Latest articles