1MDB: Azam Dedah ‘Perjuangan’ 10 Tahun SPRM Hingga Najib Disabit Bersalah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai hasil usaha panjang dan komitmen luar biasa pasukan penyiasat serta pendakwaan sejak siasatan kes 1MDB dimulakan hampir sedekad lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki merakamkan penghargaan tertinggi kepada semua pegawai yang menunjukkan ketekunan luar biasa sepanjang siasatan kompleks itu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mendapati Najib bersalah atas kesemua 25 pertuduhan melibatkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam penghakimannya memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes yang dikemukakan oleh pendakwaan.

Menurut Azam, kejayaan membawa kes itu ke peringkat penghakiman adalah hasil kerja berterusan sejak Julai 2015, merangkumi pengumpulan keterangan dan pembuktian yang melibatkan pelbagai negara.

“Penghargaan ini adalah pengiktirafan terhadap kecekalan luar biasa pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan bukti kukuh di dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azam menegaskan keputusan tersebut bukan untuk diraikan atau dibanggakan, sebaliknya mencerminkan amanah dan tanggungjawab SPRM kepada negara serta rakyat.

Beliau mengakui siasatan 1MDB berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan perundangan, teknikal dan isu bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal berpegang teguh kepada piawaian undang-undang yang ketat bagi memastikan kes dapat dibicarakan secara adil di mahkamah.

“Peranan SPRM kekal jelas iaitu menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan fakta, bukti serta kepentingan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Azam turut merakamkan penghargaan kepada agensi tempatan yang memberikan kerjasama sepanjang siasatan, termasuk Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, bantuan rakan penguat kuasa antarabangsa juga memainkan peranan kritikal dalam usaha mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme bantuan perundangan bersama.

Antara agensi luar negara yang terlibat termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa dari Belanda dan Barbados.

“Profesionalisme serta komitmen berterusan semua pihak dalam kerjasama antarabangsa ini amat kami hargai,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles