Lepaskan Perlis Kepada Bersatu, Peluang Terbaik Tadbir Negeri, UMNO Serik Dengan MN

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kemelut politik yang sedang melanda Perlis sebagai peluang terbaik buat Bersatu untuk mengambil alih dan mentadbir sebuah kerajaan negeri buat pertama kali.

Menurut beliau, PAS seharusnya bersikap ‘gentleman’ dengan menyerahkan tampuk pentadbiran negeri kepada Bersatu memandangkan kedua-dua parti itu berada dalam gabungan yang sama, iaitu Perikatan Nasional (PN).

Katanya, langkah tersebut lebih wajar demi mengelakkan ketidaktentuan berpanjangan yang boleh menjejaskan kebajikan rakyat.

“Mustahil Bersatu akan memecat lima ADUNnya yang menarik sokongan. Ini peluang terbaik untuk Bersatu mentadbir sebuah negeri. PAS patut bersikap gentleman dan lepaskan sahaja kepada Bersatu. Jangan biarkan pentadbiran negeri terus tergantung, utamakan kepentingan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Puad berpandangan cadangan itu sukar direalisasikan sekiranya PAS dan Bersatu gagal mencapai persefahaman dan terus berpecah dalam menangani krisis berkenaan.

Beliau turut menjangkakan lebih banyak episod ‘tikam menikam’ akan berlaku dalam kalangan parti terlibat, sekali gus menambah ketidaktentuan politik di Perlis.

“Mungkin akan ada banyak lagi drama dalaman. Namun apa yang pasti, situasi ini tidak akan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN). UMNO sudah serik,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan agar MN yang pernah digagaskan oleh UMNO dan PAS dihidupkan semula sebagai alternatif kepada kerjasama politik sedia ada.

Cadangan itu dilaporkan menerima reaksi positif daripada pelbagai pihak, termasuk Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

BBerkaitan

Latest articles