PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak sepenuhnya dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa dana berbilion ringgit yang diterimanya merupakan ‘derma Arab’, malah memutuskan surat derma yang dikemukakan pasukan pembelaan sebagai satu pemalsuan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika membacakan keputusan, menegaskan naratif derma dari Arab Saudi yang dibawa Najib sendiri adalah tidak munasabah serta langsung tidak mempunyai merit.
Menurut beliau, keterangan yang dikemukakan sepanjang perbicaraan jelas menunjukkan wang berkenaan berpunca daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bukannya sumbangan peribadi seperti didakwa.
“Naratif derma dari Arab Saudi tiada merit. Surat-surat derma tersebut merupakan pemalsuan dan bukti jelas menunjukkan dana itu sebenarnya berasal daripada 1MDB. Mahkamah mendapati pembelaan ini tidak boleh dipercayai dan gagal menangkis anggapan suapan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM,” kata beliau.
Keputusan itu disampaikan oleh Collin dari Istana Kehakiman, meskipun beliau baru-baru ini telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, menandakan ini merupakan keputusan terakhirnya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dalam kes berprofil tinggi berkenaan.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang difailkan pada 2018, dengan perbicaraan bermula pada tahun berikutnya.
Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan dan Bukit Ceylon.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib dituduh melakukan kesalahan sama di bank berkenaan antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013.
Kesalahan salah guna kuasa itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah sebelum ini mengarahkan Najib membela diri pada 30 Oktober 2024 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Selain kes 1MDB dan kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022, Najib turut pernah berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi, namun diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.










