JAWI Diarah Siasat Lelaki Berpakaian Wanita, Tindakan Undang-Undang Menyusul

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki tempatan yang berpakaian menyerupai wanita ketika menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa, susulan penularan video kejadian itu di media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, arahan berkenaan dikeluarkan kerana perbuatan tersebut mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat dan dilihat mencabar sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.

Beliau turut memaklumkan JAWI diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menurunkan kandungan berkaitan daripada platform media sosial.

Menurut Zulkifli, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu yang tular itu, khususnya kerana ia melibatkan seorang warganegara yang didakwa sengaja tampil menyerupai jantina berlawanan di hadapan khalayak ramai.

Tegas beliau, dari sudut pandang Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bertentangan dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sehubungan itu, katanya, usaha dakwah dan pencegahan akan terus diperkasakan melalui khutbah Jumaat, program keagamaan serta penyampaian mesej berunsur pendidikan di media sosial bagi meningkatkan kefahaman orang ramai, selain memelihara keharmonian sosial dan nilai budaya negara.

Untuk rekod, insiden berkenaan menjadi perhatian selepas tular rakaman di platform seperti TikTok yang memaparkan seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita ketika bertindak sebagai juri program Grand Final Miss and Mister Celebrity International 2025, yang berlangsung pada 21 Disember lalu.

BBerkaitan

Latest articles