Mayat Wanita Dalam Beg Disahkan Suri Narudin

REMBAU: Polis mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan di dalam sebuah beg sebelum ditanam berhampiran rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, pada 18 Disember lalu, sebagai Suri Narudin yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan itu dibuat selepas cap jari mayat berkenaan dipadankan dengan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut beliau, satu set cap jari telah dihantar ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk tujuan perbandingan dan hasilnya sepadan dengan rekod atas nama Suri Narudin, yang dilaporkan hilang di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu.

Tambahnya, analisis DNA yang dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia turut mengukuhkan pengesahan identiti mangsa apabila keputusan menunjukkan hubungan adik-beradik kandung dengan kebarangkalian yang sangat tinggi.

Sebelum ini, penemuan mayat wanita dalam beg di kawasan rumah tidak berpenghuni itu mengejutkan orang ramai, dengan siasatan awal membawa kepada penahanan dua lelaki di Melaka dan Genting Sempah dalam tempoh kurang 24 jam selepas penemuan, termasuk seorang yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

BBerkaitan

Latest articles