KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan sebarang kenyataan atau sambutan terbuka yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara komuniti, susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurut Ong, beberapa ciapan dan perkongsian di media sosial yang dilihat seolah-olah meraikan keputusan mahkamah itu bukan sahaja tidak sensitif, malah mengabaikan perasaan sebahagian besar masyarakat Melayu yang mungkin menolak salah laku berkaitan 1MDB, namun pada masa sama tidak bersetuju bekas perdana menteri itu dijadikan bahan hinaan.
Beliau berkata, tindakan sedemikian turut menimbulkan rasa tidak senang terhadap pemimpin parti tertentu yang sudah pun berdepan penolakan, tetapi memilih untuk menzahirkan kegembiraan secara terbuka di media sosial.
Tegasnya, langkah itu hanya menambah jurang perpecahan dalam landskap politik negara yang sedia rapuh.
“Negara ini sudah cukup terbelah akibat politik perkauman dan keagamaan, termasuk selepas rombakan Kabinet baru-baru ini. Tidak perlu lagi menambah ‘api dalam sekam’ dengan kenyataan yang berpotensi membangkitkan sentimen antara komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Ong turut memberi amaran bahawa sambutan seperti itu bukan sahaja menjejaskan keupayaan kerajaan untuk berfungsi dengan berkesan dalam baki dua tahun penggal ini, malah berisiko menggugat kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang dan selepas pilihan raya umum akan datang.
Menurut beliau, tindakan tidak berhemah itu juga berpotensi membuka ruang kepada BN untuk mendekati Perikatan Nasional (PN), satu perkembangan yang akhirnya boleh merugikan PH serta penyokongnya sendiri.
Kenyataan Ong itu dibuat susulan hantaran rakan separtinya, Yeo Bee Yin, di Facebook yang menulis “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini” selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman enam tahun penjara di rumah berhubung sabitan kes SRC International.
Hantaran berkenaan mengundang kecaman termasuk daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyatakan mungkin sudah tiba masanya UMNO menilai semula kerjasama dengan pihak yang dianggap tidak menghargai sumbangan parti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) dari PKR turut menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak sopan dan tidak wajar.
Ong menegaskan, tiada keperluan untuk “menambah duka” dalam isu berkenaan, memandangkan Najib telah pun menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan yang sering dibangkitkan oleh keluarga bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya sendiri akan berasa berat hati dan sedih jika berada di tempat anak atau cucu Najib, memikirkan ayah dan datuk mereka menghabiskan masa bersendirian di Penjara Kajang ketika orang lain menikmati cuti hujung tahun bersama keluarga,” katanya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke, menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengingatkan semua pihak supaya menangani isu ini dengan penuh kesabaran dan berhati-hati, sambil menegaskan bahawa sebarang tindakan yang memburukkan keadaan atau meningkatkan ketegangan dalam tempoh sensitif ini adalah tidak wajar.










