KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO mengecam kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin, yang disifatkan biadab dan tidak berperikemanusiaan susulan hantaran mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menjalani tahanan rumah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kenyataan yang menyifatkan keputusan itu sebagai “perkara untuk diraikan hujung tahun” melampau dan boleh memaksa UMNO menilai semula kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang terjalin sejak Disember 2022.
Menurut Asyraf, jika tidak mampu menzahirkan simpati, jangan mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati, apatah lagi melibatkan bekas pemimpin yang dihormati keluarga besar UMNO.
“Mungkin sudah tiba masanya UMNO memperhalusi kembali kerjasama jika sumbangan dan perjuangan parti terus dipandang remeh,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Yeo Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti DAP memuat naik hantaran menyebut “antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun”, dipercayai merujuk keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman Najib, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin UMNO.










