KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kontroversi, Namewee, dilepaskan sepenuhnya daripada pertuduhan menggunakan dadah selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan keputusan ujian air kencingnya adalah negatif.
Sehubungan itu pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan berkenaan kerana ketiadaan bukti sokongan.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa, memberitahu mahkamah bahawa analisis makmal mengesahkan Wee Meng Chee tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan, sekali gus menyebabkan pertuduhan penggunaan dadah tidak dapat diteruskan.
Susulan itu, peguam bela Joshua Tay memohon perintah pelepasan dan pembebasan sepenuhnya atas alasan tiada asas undang-undang untuk mendakwa semula anak guamnya, yang kemudiannya dibenarkan oleh Majistret S Arunjothy.
Bagaimanapun, Namewee sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya membabitkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Kes berkaitan pertuduhan pemilikan dadah dijadualkan untuk sebutan semula pada 19 Januari tahun depan.
Untuk rekod, pemuzik berkenaan ditahan pada 22 Oktober lalu di sebuah hotel di ibu negara selepas polis menemui sembilan pil biru yang disyaki dadah jenis ekstasi di bilik penginapannya.
Ketika itu, saringan awal dilaporkan menunjukkan keputusan positif beberapa bahan terlarang.
Selain kes dadah, Namewee juga pernah ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pempengaruh dari Taiwan, Hsieh Yun Hsin, namun dibebaskan dengan jaminan sementara sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.










