KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta meneruskan dukungan terhadap agenda Kerajaan MADANI walaupun tidak lagi berada dalam barisan Kabinet.
Beliau berkata, khidmat kepada agama, rakyat dan negara akan diteruskan dalam apa jua kapasiti yang diamanahkan kepadanya.
Dalam kenyataan menerusi Facebook malam tadi, Mohd. Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan sebelum ini untuk memimpin portfolio Hal Ehwal Agama.
Sepanjang tempoh berkhidmat, beliau menjelaskan Pelan Transformasi Al-Falah telah diperkenalkan sebagai asas pembaharuan institusi agama, yang membawa penambahbaikan ketara dalam tadbir urus, penyelarasan dasar, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pemerkasaan kebajikan umat Islam secara lebih tersusun dan berfokus.
Menurutnya, pendekatan berteraskan data dan prinsip kebertanggungjawaban memastikan manfaat dasar dapat dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar.
“Dalam menerima setiap amanah dan perubahan, saya sentiasa berpegang bahawa segala kekuasaan dan ketetapan adalah milik Allah SWT,” katanya.
Semalam, rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri menyaksikan Mohd. Na’im antara tiga menteri yang digugurkan, dengan jawatan tersebut kini disandang oleh Timbalannya, Dr Zulkifli Hasan.
Mohd. Na’im turut mengucapkan tahniah kepada Zulkifli serta berharap kesinambungan agenda dan inisiatif yang telah dirangka dapat diteruskan demi kepentingan agama dan negara.










