Pelajar Tingkatan Empat Maut Selepas Terjatuh Dari Tingkat Tiga Sekolah

SEREMBAN: Suasana di sebuah sekolah menengah di Sendayan bertukar cemas apabila seorang pelajar perempuan tingkatan empat dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan pada pagi Jumaat.

Insiden yang berlaku sekitar pukul 10 pagi itu mengejutkan warga sekolah dan penduduk setempat apabila kehadiran anggota penyelamat serta orang ramai mula memenuhi kawasan sekolah sejurus selepas kejadian.

Menurut saksi yang tinggal berhampiran lokasi, keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai dilihat berkumpul di sekitar kawasan sekolah selepas mendapat tahu mengenai kejadian tersebut.

Seorang penduduk berusia lingkungan 60-an berkata, dia hanya menyedari sesuatu yang luar biasa berlaku ketika pulang ke rumah dari Seremban sebelum melihat orang ramai berada di hadapan sekolah.

“Rumah saya memang bersebelahan dengan sekolah ini. Bila sampai, saya nampak ramai orang berkumpul. Saya terkejut apabila dimaklumkan ada pelajar yang terjatuh,” katanya ketika ditemui.

Mangsa disahkan meninggal dunia, namun punca sebenar kejadian sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung insiden berkenaan. Pihak berkuasa dijangka mengeluarkan maklumat lanjut selepas siasatan awal selesai dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles