Bila Sokongan Merosot, DAP Jadikan UEC Dijadikan Senjata Politik

KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sengaja “dipanaskan” setiap kali DAP kehilangan sokongan pengundi Cina kembali diperkatakan, susulan prestasi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan, menyifatkan isu berkenaan sebagai helah politik berulang yang digunakan apabila pengaruh DAP semakin goyah.

Menurut beliau, rakyat sudah lama memahami corak permainan politik parti itu, yang sering mengangkat UEC sebagai modal sokongan apabila kedudukan mereka terancam.

Tegasnya, Malaysia telah memiliki sistem pendidikan kebangsaan yang mantap, menyeluruh dan selari dengan keperluan masyarakat berbilang kaum.

Justeru, desakan untuk mengiktiraf UEC dilihat cuba memberi gambaran seolah-olah sistem sedia ada gagal, sedangkan ia telah terbukti berkesan sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Zanuriman berkata UEC tidak berpaksikan kurikulum kebangsaan dan diambil dari luar negara, sekali gus menjadikannya tidak relevan untuk dijadikan laluan ke universiti awam atau perkhidmatan kerajaan.

Katanya, pengiktirafan sijil yang tidak selari dengan dasar pendidikan negara hanya akan membuka ruang kepada tuntutan lain, seterusnya mewujudkan ketidaktentuan dan perpecahan dalam sistem pendidikan nasional.

Kenyataan itu dibuat susulan kritikan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, terhadap tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang mahu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan pengiktirafan UEC.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Howard Lee, mempertahankan pendirian parti dan menyifatkan kritikan Pemuda UMNO sebagai berunsur sentimen.

Zanuriman turut memberi amaran bahawa isu UEC bukan sekadar perbahasan akademik, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap perpaduan nasional.

Menurutnya, pendidikan sepatutnya menjadi medan penyatuan rakyat, bukannya punca perpecahan kaum.

“Jika sistem pendidikan sendiri berpecah, usaha membina masyarakat bersatu akan semakin sukar. Jangan biarkan agenda politik mengatasi kepentingan negara dan masa depan anak-anak,” katanya memetik MalaysiaGazette.

BBerkaitan

Latest articles