KUALA LUMPUR: Polis menyiasat kemungkinan perasaan cemburu sebagai punca seorang lelaki bertindak membunuh isterinya sebelum menyembunyikan mayat mangsa selama empat hari di dalam bilik tidur kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Jalan Tuna, Pulau Pinang.
Perkara itu didedahkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, hasil siasatan awal terhadap suspek berusia 28 tahun.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis tidak menolak elemen cemburu sebagai faktor kejadian membabitkan mangsa berusia 44 tahun itu.
Siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod masalah kesihatan.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara polis melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tampil ke balai polis untuk mengaku telah membunuh isterinya empat hari sebelum itu.
Pemeriksaan di kediaman pasangan berkenaan membawa kepada penemuan mayat mangsa di salah sebuah bilik dengan kesan kelar pada leher.
Susulan penemuan tersebut, polis menahan suspek yang dilaporkan tidak bekerja bagi membantu siasatan lanjut.










