KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil dengan kenyataan tegas apabila menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu melayan tuntutan DAP yang semakin vokal kebelakangan ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, DAP tidak mempunyai ruang untuk meninggalkan Kerajaan MADANI kerana kejatuhan kerajaan bermakna parti itu turut sama kehilangan kuasa.
Dalam hantaran ringkas di Facebook, Mahathir mempersoalkan desakan reformasi yang dilaungkan DAP.
“Apakah Reformasi yang dituntut oleh DAP? Anwar tak perlu layan DAP,” tulisnya.
Kenyataan Mahathir hadir selepas kekalahan besar Pakatan Harapan dan DAP pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang membuka semula perdebatan tentang pelaksanaan agenda reformasi.
Antara isu panas yang kembali mencuri perhatian ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sehingga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sendiri menyatakan kesediaan melepaskan jawatan jika pengiktirafan itu berlaku selepas beliau berundur.
Sementara itu, DAP kini berdepan tekanan daripada sebahagian pengundi Cina yang dikatakan tidak puas hati dengan beberapa dasar ekonomi baharu kerajaan, termasuk pelaksanaan e-invois, struktur cukai dan polisi berkaitan PKS.
Suara tidak puas hati itu turut diterjemah menerusi 10 tuntutan yang disampaikan Penasihat DAP, Lim Guan Eng kepada Perdana Menteri dan dikongsikannya secara terbuka di Facebook hari ini.










