KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan keras kepada semua pemimpin kerajaan dan agensi penguatkuasaan supaya tidak sesekali melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam rasuah atau salah laku.
Menurutnya, kesalahan jenayah tidak mengenal kedudukan, dan tindakan tegas perlu diambil tanpa pengecualian termasuk terhadap individu dari pejabatnya sendiri.
Anwar menegaskan bahawa keselamatan dan integriti negara hanya dapat dipertahankan jika setiap pemimpin berani bertindak terhadap kesalahan dalam “keluarga” mereka sendiri.
“Kalau ada anggota kita tersalah langkah, ambil tindakan. Kalau kes besar, agensi penguat kuasa mesti bertindak. Kalau berlaku di pejabat saya sekalipun, saya beritahu Tan Sri Azam Baki, terus ambil tindakan, saya tak lindungi sesiapa,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025.
Turut hadir ialah Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Dalam ucapannya, Anwar mengakui ancaman manipulasi persepsi awam dan campur tangan pihak berkepentingan masih wujud dalam sistem penguatkuasaan negara.
Katanya, ada individu dan kumpulan berkepentingan yang memiliki sumber kewangan serta kuasa politik cukup besar untuk cuba mempengaruhi perkhidmatan awam, badan penguat kuasa dan juga kehakiman.
“Kita tak naif. Kalau ada kelemahan, wajib diperbetulkan,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan serius diadakan bersama ketua sebuah agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap tuduhan dapat dijawab secara jelas dan cepat agar tidak membuka ruang kepada pihak yang mahu mencetuskan persepsi negatif.
Menurut Perdana Menteri, integriti agensi penguat kuasa adalah tiang kepada sebuah negara hukum.
Jika terdapat pertikaian mengenai cara operasi atau tangkapan dibuat, katanya, agensi terlibat perlu memberi penjelasan segera.
“Dan jika ada anggota tersalah langkah, tindakan disiplin mesti diambil mengikut kesalahan,” tambahnya.










