CSAM Makin Berleluasa: Guru Kaunseling Dedah Punca, Bahaya Ketagihan, Amaran Untuk Generasi Akan Datang

KUALA LUMPUR: Isu penyebaran bahan pornografi seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Puan Suhaida Samsudin, Guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Kebangsaan Seri Pristana percaya situasi itu berlaku kerana penggunaan teknologi tanpa kawalan, sikap ibu bapa yang longgar dalam pemantauan serta kerentanan kognitif kanak-kanak yang masih belum matang.

Beliau menyifatkan keadaan semasa sebagai “peringatan berat yang tidak boleh lagi diabaikan”.

Menurutnya, akses seawal usia kecil kepada telefon pintar dan internet tanpa sebarang had telah membuka pintu luas kepada pemangsa siber mendekati kanak-kanak.

“Ada ibu bapa memberikan gajet sejak usia setahun jagung. Tiada kawalan, tiada penapisan. Dari platform sosial ke aplikasi mesej, kanak-kanak boleh menerima video, audio atau imej berunsur CSAM tanpa mereka sedar bahaya,” tegasnya.

Beliau menambah, ramai mangsa turut terdedah melalui rakan sebaya yang menerima dan menyebarkan bahan terlarang tanpa memahami implikasinya.

Guru kaunseling itu menjelaskan bahawa mangsa selalunya bermula secara tidak sengaja, iaitu dengan menerima satu video atau imej tanpa diminta.

Namun sifat ingin tahu yang kuat serta ketidakmatangan kognitif menyebabkan mereka kembali melihatnya berulang kali.

“Kanak-kanak tidak mampu menilai risiko. Mereka impulsif dan mudah terpengaruh dengan kandungan yang merangsang rasa ingin tahu,” katanya.

Lebih membimbangkan, anak-anak yang mengalami kesunyian, kurang perhatian ibu bapa, konflik keluarga atau rasa rendah diri menjadi sasaran paling mudah.

Mereka mencari penghargaan melalui internet dan akhirnya bergantung kepada rangsangan dopamine yang terhasil ketika menonton bahan sedemikian.

“Akhirnya tercetus ketagihan. Mereka tidak dapat berhenti, walaupun tahu ia salah,” katanya.

Suhaida menegaskan bahawa pencegahan hanya akan berkesan jika semua pihak berganding bahu, melibatkan ibu bapa, pihak sekolah, pihak berkuasa dan platform digital.

Antara langkah kritikal yang dicadangkannya termasuk:
• Penggunaan perisian keselamatan di setiap gajet anak
• Pemantauan rapi rakan, kenalan dan aktiviti media sosial
• Program kesedaran di sekolah secara berkala
• Had umur minimum, pengesahan identiti pengguna dan sekatan tegas oleh platform media sosial

“Tanggungjawab ini bukan tugasan satu pihak. Jika kita gagal bertindak sekarang, kita sendiri yang menyuburkan ekosistem pemangsa,” katanya.

Dalam pada itu Suhaida dengan tegas menyokong cadangan menetapkan usia minimum 16 tahun untuk memiliki akaun media sosial.

Katanya, pada usia itu kanak-kanak sudah lebih matang, mampu menilai kandungan digital dan lebih memahami risiko CSAM hasil pendidikan dari rumah dan sekolah.

“Ini bukan sekadar kawalan teknikal. Ini langkah pencegahan awal untuk mengurangkan pendedahan kepada kandungan berisiko tinggi,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran mengenai masa depan jika isu ini tidak dibendung segera.

“Dari sudut sosial, peningkatan sextortion, buli siber dan normalisasi eksploitasi kanak-kanak akan menjadi realiti.

“Dari aspek psikologi, mangsa berisiko menghidap PTSD, kemurungan, kekeliruan identiti seksual dan berpotensi mengulangi kitaran sebagai pelaku di masa hadapan jika tidak dirawat.

“Dari sudut agama, akhlak anak-anak akan runtuh. Mereka tidak lagi merasa bersalah melanggar ajaran agama. Kita akan melahirkan generasi yang kosong rohaninya dan mudah hanyut dengan gejala sosial,” katanya.

Sebagai guru kaunseling, beliau menegaskan keperluan untuk terus melaksanakan program pendidikan, ceramah kesedaran, modul intervensi jenayah seksual kanak-kanak oleh KPM serta pendidikan literasi digital.

Turut ditekankan ialah pengesanan awal murid berisiko dan pemberian sokongan psikososial menyeluruh.

“Tugas kami adalah memastikan murid memahami sentuhan selamat, mengenali bahaya dalam talian, dan mempunyai kekuatan mental untuk melindungi diri mereka. Generasi ini perlu diselamatkan sekarang, bukan nanti.”

BBerkaitan

Latest articles