SHAH ALAM: Tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor membongkar satu kes penyelewengan dana zakat berskala besar apabila tiga individu, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, diberkas dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang hari ini.
Menurut maklumat awal, suspek yang berusia antara 50 hingga 60-an itu dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan sejak 2018 hingga 2024.
Dua daripada mereka yang juga pengarah syarikat ditahan pada lewat petang, manakala seorang lagi ditahan lebih awal ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Siasatan mendapati dana berjumlah kira-kira RM230 juta itu didakwa dipindahkan ke akaun syarikat milik suspek untuk tujuan pelaburan serta kegunaan peribadi.
Kes berkenaan turut menimbulkan kebimbangan kerana dana terbabit dipercayai diperoleh hasil sumbangan awam untuk membantu golongan memerlukan.
Dalam serbuan sama, pihak berkuasa menyita pelbagai aset termasuk 18 kenderaan mewah seperti Porsche dan Mercedes-Benz, beberapa hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta barangan berharga lain.
Selain itu, 33 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM120 juta turut dibekukan.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan perkembangan itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009. Semua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi permohonan reman esok.










