KUALA LUMPUR,- Ketua Wanita Keadilan Pandan, Roasiah Ramli, hari ini menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menjelaskan status siasatan berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, dakwaan melibatkan bayaran RM500,000 yang dikaitkan dengan sebuah projek vending machine di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan penjelasan segera daripada pihak berkuasa.
“Persoalan utama yang masih belum terjawab adalah status siasatan oleh PDRM dan SPRM. Rakyat berhak mengetahui perkembangan kes ini secara telus,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Roasiah, dakwaan itu turut menimbulkan kebimbangan susulan kenyataan bahawa wujud pertemuan antara Rafizi dan Menteri Dalam Negeri pada Disember lalu, yang didakwa menyentuh kemungkinan implikasi sekiranya isu tersebut terbongkar.
Dalam pada itu, Rafizi Ramli sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan rasuah berkenaan, menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas serta tidak selari dengan garis masa sebenar. Beliau turut menegaskan tidak pernah mengenali individu yang dikaitkan dalam dakwaan tersebut.
Roasiah turut menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berhubung dakwaan kononnya terdapat kenyataan yang mengaitkan Rafizi dengan kes berkenaan.
“Jika benar wujud maklumat sedemikian, ia tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan rasmi. Ketelusan amat penting bagi memastikan keyakinan rakyat tidak terjejas,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu berkaitan pengisytiharan aset Rafizi dan menekankan bahawa prinsip akauntabiliti perlu terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian.
Mengulas situasi politik semasa, Roasiah berkata sokongan terhadap Rafizi dilihat semakin merosot, termasuk selepas kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti sebelum ini.
Beliau turut mendakwa terdapat rungutan di peringkat akar umbi berhubung tahap kehadiran dan perkhidmatan di kawasan Parlimen Pandan.
Sehubungan itu, Roasiah menggesa Rafizi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat serta memastikan kebajikan pengundi di kawasan tersebut terus terpelihara.
“Mandat rakyat adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kepercayaan tidak boleh dipertahankan tanpa ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Sementara itu, Roasiah menegaskan pendiriannya yang tidak menyokong Rafizi dalam Mesyuarat Agung Cabang Pandan, serta komitmennya untuk terus menyokong calon Parti Keadilan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.










