PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, ahli perniagaan Albert Tei (Tei Jiann Cheing) serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong, bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan bahawa Albert yang dianggap saksi utama dalam kes berkenaan ditahan pada jam 10.15 pagi di kediamannya, selepas beliau dikatakan enggan hadir lebih awal untuk memberi kerjasama kepada penyiasatan.
Susulan penahanan itu, notis di bawah Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah turut diserahkan kepadanya, yang membolehkan SPRM menafikan haknya berhubung dengan mana-mana pihak buat sementara waktu.
Beberapa jam kemudian, Shamsul Iskandar pula ditahan sekitar 12.51 tengah hari, ketika beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut Azam, SPRM akan memohon reman terhadap kedua-dua individu itu di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.
Sementara itu, wanita yang dikaitkan dengan siasatan sama, Sofia Rini, sudah ditahan lebih awal pada 10.30 malam semalam, dan kini direman selama empat hari sehingga 1 Disember 2025.
Azam berkata siasatan dijalankan secara segera memandangkan kes ini dianggap berkepentingan awam dan bagi mengelakkan sebarang manipulasi pihak tertentu.
Beliau turut menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dilakukan secara profesional dan adil, serta menggesa semua pihak menghentikan spekulasi sehingga siasatan selesai.
“Saya mahu siasatan lengkap dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tinjauan media di Ibu Pejabat SPRM mendapati Shamsul hadir lebih awal daripada jadual, sekitar 12 tengah hari, berbanding waktu sepatutnya iaitu 2 petang dan sedang disoal siasat ketika wartawan tiba untuk membuat liputan.










