“Itu Hak Dia” – Zahid Beri Reaksi Tindakan KJ Bantu Calon Pelbagai Parti

BONGAWAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa tindakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, turun berkempen di Sabah untuk calon daripada tiga parti berbeza sempena PRN17 adalah hak peribadinya dan bukan isu yang perlu dipertikaikan.

Menurut Zahid, beliau telah meneliti ucapan serta kehadiran Khairy dalam kempen calon BN di DUN Bongawan semalam, selain melihat jadual program dua hari yang dimuat naik Khairy di media sosial.

Jelasnya, Khairy hadir membantu empat calon, namun hanya seorang daripada BN, manakala selebihnya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Beliau turun membantu sahabat-sahabatnya. Itu hak beliau. Satu calon memang dari BN, tiga lagi bukan dari BN, tetapi itu pilihan peribadinya,” katanya selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan, hari ini.

Khairy dilapor membantu kempen Datuk Mohamad Alamin (BN-Bongawan), selain turun berkempen bersama calon PH di DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa, serta calon PH di Melalap, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau turut memberi sokongan kepada calon GRS di Tempasuk, Datuk Arsad Bistari.

Dalam masa sama, Zahid berkongsi keyakinan terhadap prestasi BN menjelang hari pengundian PRN17 walaupun mengakui calon BN berada dalam kedudukan ‘underdog’.

Katanya, pendekatan menyantuni pengundi yang diamalkan parti itu memberi kesan positif dan diyakini mampu membawa kemenangan.

“Kita harap tidak ada halangan di saat akhir. Contohnya, ada calon ‘dicuri’ parti lain. Jadi saya minta pengundi BN kekal setia dan konsisten,” katanya, menyeru penyokong parti supaya tidak terpengaruh dengan cubaan memancing undi saat akhir.

BBerkaitan

Latest articles