Albert Tei Ditahan SPRM Awal Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, kembali menjadi tumpuan apabila beliau didakwa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan serbuan di kediamannya di Puchong awal pagi tadi.

Menurut peguamnya, Zaid Malek, beberapa pegawai SPRM bersama polis dikatakan memasuki rumah Tei secara paksa sebelum membawanya keluar dalam keadaan bergari, sambil dikelilingi pegawai bersenjata dan bertopeng.

Zaid mendakwa Tei kemudian dibawa semula ke rumah beberapa minit selepas itu, namun pegawai yang melakukan operasi itu enggan memperkenalkan diri atau memaklumkan lokasi Tei seterusnya.

Bagaimanapun, laporan Malaysiakini memetik seorang lagi peguam Tei, Mahajoth Singh, yang menegaskan bahawa SPRM menjalankan serbuan tersebut menggunakan waran sah.

Zaid pula menyifatkan tindakan SPRM menghalangnya daripada berjumpa anak guam sebagai pelanggaran hak perlembagaan Tei untuk mendapatkan akses kepada peguam.

“Cara mereka mengendalikan Tei seolah-olah menahan seorang pengganas,” dakwanya selain menyifatkan situasi itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

SPRM setakat ini belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan tersebut.

Serbuan pagi ini berlaku hanya beberapa hari selepas Tei dan seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan melibatkan bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin.

Tei, yang turut dikaitkan dengan skandal perlombongan Sabah, kini berdepan dua pertuduhan memberi rasuah.

Kontroversi semakin memuncak selepas tular sebuah video menunjukkan Tei berbual dengan wanita yang didakwa Sofia, yang mengaku kononnya dirinya proksi kepada Shamsul.

Dalam video itu, wanita berkenaan turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi kebenaran kepada Tei untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah berkaitan lesen perlombongan mineral.

Namun Sofia menafikan dakwaan tersebut, menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak berasas.

Isu itu terus hangat apabila Tei mendakwa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, meliputi kerja pengubahsuaian hartanah, pembelian cerut premium dan sut khas.

Tei turut berkongsi tangkap layar WhatsApp yang didakwa menunjukkan Shamsul meminta mata wang asing sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.

Dakwaan itu muncul sejurus selepas Shamsul meletak jawatannya sebagai setiausaha politik kepada Perdana Menteri. Shamsul menyifatkan kontroversi itu sebagai cubaan terancang untuk menjatuhkan reputasinya serta menjejaskan imej kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles