LONDON Pengerusi Eksekutif YTL Corporation Bhd, Tan Sri Sir Francis Yeoh, menerima Anugerah ASEAN Personality of the Year 2025 – Lifetime Achievement Award pada majlis Asian Business Awards 2025 yang berlangsung di Central London, sekali gus melakar sejarah sebagai tokoh ASEAN pertama menerima pengiktirafan berprestij tersebut.
Majlis anjuran Asian Media Group (AMG) itu memasuki edisi ke-26 penganjurannya tahun ini dan buat julung kali memperkenalkan kategori khas ASEAN, bagi mengiktiraf peranan dan pengaruh negara-negara rantau itu dalam landskap perniagaan United Kingdom.
Penganugerahan kepada Tan Sri Sir Francis mengiktiraf sumbangan berdekad-dekad beliau dalam membina YTL sebagai kumpulan infrastruktur global, selain kepimpinan dalam memperkenalkan inovasi mampan serta nilai korporat berteraskan tanggungjawab sejagat.
Majlis berprestij itu turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Negara UK bagi Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan, The Rt Hon Steve Reed, sebagai tetamu kehormat. Beliau turut menyampaikan penghargaan peribadi terhadap peranan Tan Sri Sir Francis dalam memperkukuh hubungan dua hala UK–Malaysia, serta komitmen beliau terhadap agenda kelestarian global.
Anugerah tersebut diumumkan oleh Lord Tariq Ahmad of Wimbledon, bekas Menteri Negara UK bagi Komanwel, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika Utara, yang menyifatkan pencapaian Tan Sri Sir Francis sebagai mencerminkan impak global kepimpinan korporat ASEAN.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan tertinggi AMG, termasuk Kalpesh Solanki (Pengarang Urusan Kumpulan) dan Shailesh Solanki (Ketua Pengarang Eksekutif), selain wakil-wakil kedutaan ASEAN yang menyerlahkan semangat perpaduan serantau di pentas antarabangsa.
Anugerah ini dicalonkan oleh Hon Datuk (Sir) SK Lingam, wakil ASEAN UK Business Forum dan Malaysia Link UK, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan perniagaan antara ASEAN, UK, Malaysia dan India.
Walaupun mempunyai jadual yang padat, Tan Sri Sir Francis terbang khas dari Malaysia untuk menghadiri majlis tersebut. Salah satu segmen utama pada malam itu ialah Special Leadership Talk bersama personaliti media British terkenal, Nihal Arthanayake, yang mengetengahkan pandangan beliau mengenai kepimpinan, kelestarian dan masa depan perniagaan global.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ASEAN itu mengiktiraf kepimpinan transformasi Tan Sri Sir Francis di YTL Corporation, peranan beliau dalam pembangunan infrastruktur global, sumbangan terhadap kelestarian serta kepimpinan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja mencerminkan pencapaian peribadi beliau, malah turut menonjolkan keupayaan Malaysia sebagai peneraju korporat dan diplomasi ekonomi di peringkat antarabangsa.










