KOTA TINGGI: Tragedi memilukan menimpa sepasang suami isteri apabila mereka maut di lokasi kejadian, sementara bayi lelaki mereka berusia enam bulan terselamat dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 54.5 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, nahas berlaku sekitar jam 1.30 petang dan melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki pasangan berusia 24 dan 28 tahun itu, sebuah Toyota Vios serta lori Hino tanpa muatan.
“Siasatan awal mendapati Myvi tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori Hino. Impak kuat itu menyebabkan serpihan kemalangan turut mengenai Toyota Vios di belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yusof, kedua-dua mangsa di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bayi mereka yang duduk dalam kerusi keselamatan kanak-kanak (car seat) di bahagian belakang cedera di kepala namun dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Pemandu lori Hino pula hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis kini menyiasat insiden tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.










