Suhaimi Mahu Selesaikan Isu Air, Jalan Rosak, Ekonomi, Beri Jaminan Bukan Slogan Bermusim

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa keutamaan beliau jika diberikan mandat adalah memastikan keperluan asas penduduk diselesaikan secara tuntas, bukannya melalui janji kosong atau slogan sementara.

Suhaimi berkata, pelbagai isu membabitkan masyarakat setempat seperti pembaikan jalan kampung, gangguan bekalan air, peluang pekerjaan anak muda, pembangunan ekonomi tempatan serta peningkatan infrastruktur perlu diberi tumpuan secara berterusan.

“Memimpin bukan sekadar melaungkan slogan. Ia menuntut pelaksanaan sebenar di lapangan. Ini komitmen saya, meneruskan kerja yang telah membawa perubahan sebelum ini sekiranya diberi peluang oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Sibuga, hari ini.

Beliau yakin Sungai Sibuga berpotensi besar untuk kembali menjadi kawasan yang membanggakan penduduk, asalkan diterajui oleh pihak yang terbukti mempunyai rekod dan kebolehan melaksanakan projek pembangunan.

“Mandat rakyat bukan lesen untuk berbicara tanpa hasil. Ia amanah untuk membawa pembangunan yang berimpak. Ada yang pandai menabur janji, tetapi kami fokus menghasilkan perubahan yang kekal,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi menyeru pengundi agar menilai rekod dan kemampuan calon yang bertanding, sambil menekankan bahawa kempen kali ini adalah mengenai kesinambungan usaha yang sudah berjalan demi kesejahteraan penduduk Sungai Sibuga.

BBerkaitan

Latest articles