KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi keutamaan mutlak dalam membanteras rasuah, khususnya kes berskala besar yang merugikan negara sehingga berbilion ringgit.
Beliau berkata komitmen itu dibuktikan melalui tindakan agresif kerajaan terhadap sindiket dan kartel penyeludupan di Pelabuhan Klang, yang menurutnya telah beroperasi selama puluhan tahun tanpa tindakan tegas sebelum ini.
Menurut Anwar, sejurus selepas menerima taklimat mengenai kegiatan penyeludupan di pelabuhan berkenaan, kerajaan melancarkan operasi besar-besaran hingga membawa kepada rampasan bernilai RM15.5 bilion dan pendakwaan terhadap beberapa individu.
“Wujud kartel besar yang menyeludup melalui Pelabuhan Klang, termasuk kontena berisi dadah yang akhirnya ditahan pihak berkuasa Australia. Saya tegaskan bahawa saya tidak boleh lagi bertolak ansur. Kita serbu, walaupun sindiket itu kuat, ada orang dalam, ada ugutan, bahkan ada kes kematian,” katanya pada Majlis Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah hari ini.
Beliau turut memuji keberanian agensi penguat kuasa yang bertindak meskipun berdepan risiko keselamatan, dan menegaskan bahawa kejayaan rampasan serta pendakwaan itu hanya berlaku apabila wujud kemahuan politik yang jelas di peringkat kerajaan.
Anwar menegaskan setiap tindakan melibatkan isu rasuah tetap bergantung kepada bukti kukuh dan proses undang-undang, sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan perpaduan mengendurkan komitmen hanya kerana bekerjasama dengan parti yang pernah terpalit skandal.
Katanya, banyak tuduhan di media sosial hanya bersandarkan video tular atau dakwaan umum, sedangkan tindakan undang-undang hanya boleh diambil selepas siasatan SPRM mengesahkan wujud asas kukuh untuk pendakwaan.
“Jika ada compelling case, bukti dan asas pertuduhan, itu garis merah saya. Tetapi jika hanya persepsi, itu berbeza. Saya tidak mahu melakar sejarah kononnya memerangi rasuah tetapi akhirnya memperkayakan diri atau kroni,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tiada sesiapa termasuk tokoh politik kaya dan berpengaruh berada di atas undang-undang.
“Rasuah tetap garis merah. Tidak kira Melayu atau Cina. Ada yang kata seorang bekas menteri tidak boleh disiasat, tetapi bagi saya itu tidak dapat diterima. Negara mesti menerima mesej jelas bahawa rasuah tidak boleh ditoleransi,” katanya lagi.
Menurut Perdana Menteri, rasuah kini bersifat sistemik dan menuntut tindakan menyeluruh merangkumi penguatkuasaan yang lebih tegas, pembaharuan pentadbiran serta perubahan budaya kerja dalam perkhidmatan awam.










