KUALA LUMPUR: Pendedahan Perdana Menteri mengenai kewujudan sebuah kartel besar yang menyeludup dadah menggunakan kontena ke negara ini bukanlah perkara baharu buat Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengesahkan sindiket berkenaan sudah lama berada dalam pemantauan mereka dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat berhubung operasi kartel berkenaan sememangnya berada dalam pengetahuan pihaknya, termasuk beberapa langkah yang telah dan sedang diambil untuk mengekang kegiatan itu.
“Kaedah penyeludupan menggunakan kontena bukan sesuatu yang baharu, namun masih menjadi pilihan sindiket. Justeru, JSJN menjalankan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi seperti Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS), pihak berkuasa pelabuhan serta agensi luar negara,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Mengulas dakwaan Perdana Menteri bahawa wujud penglibatan ahli politik dalam operasi sindiket tersebut, Hussein berkata siasatan terhadap kartel terbabit sedang berjalan dan masih belum dimuktamadkan.
Beliau turut mendedahkan, JSJN bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Australia dalam perkongsian maklumat, termasuk laporan forensik, selain negara itu bersedia untuk mendakwa seorang suspek yang ditahan di sana.
Laporan Harian Metro hari ini memetik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berkata bahawa kartel dadah itu telah lama bergerak bebas, malah beliau sendiri mendengar mengenainya sejak 20 tahun lalu namun tidak melihat sebarang tindakan sewajarnya diambil sebelum ini.
Anwar berkata, selepas setahun menjadi Perdana Menteri, beliau masih tidak menerima sebarang laporan komprehensif mengenai sindiket besar yang menyeludup dadah masuk melalui kontena, menyebabkan beliau membangkitkan perkara itu kepada agensi bertanggungjawab.
Walau bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan memuji tindakan proaktif agensi penguat kuasa dalam mempergiat usaha membanteras sindiket dadah berkenaan.










