Empat Tertuduh Termasuk Ibu Bapa Mentua Pempengaruh ‘Prince Syed’ Didakwa Di Mahkamah

KLANG: Empat individu keluarga mentua pempengaruh dikenali sebagai ‘Prince Syed’ didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dan mencederakan pempengaruh itu.

‎‎Muhammad Syahmi Faiz Ishak, 31, Ishak Saif, 59, Aminah Haniffa, 55, dan Muhammad Ikhwan Alif Ishak, 22, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Mengikut tuduhan, Muhammad Syahmi didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) milik isteri pempengaruh itu, Fatin Syazwani Ishak, 27, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM560 di sebuah kawasan perumahan di Sungai Bertek, Klang, pada 2 Nov lepas. ‎‎
‎‎
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
‎‎
Ishak, Aminah dan Muhammad Ikhwan pula didakwa secara bersama sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Prince Syed, atau nama sebenarnya Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman, 33, di tempat dan tarikh sama.
‎‎
Pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

‎‎Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi tidak menawarkan jaminan kepada Muhammad Syahmi manakala tiga tertuduh lain ditawarkan jaminan RM4,000 setiap seorang.

‎‎Peguam K Nathiya yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan yang rendah bagi kesemua anak guamnya.

‎‎Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 terhadap Muhammad Syahmi berserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Tiga lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM1,500 setiap seorang.

‎‎Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Jan depan.

BBerkaitan

Latest articles