KUALA LUMPUR: Datuk Fadlun Mak Ujud, 58, diumumkan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 15 November selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan diyakini mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan berintegriti di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurutnya, pengalaman luas Fadlun akan mengukuhkan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus berkembang sebagai ibu kota global yang berdaya saing, selesa didiami dan selari dengan nilai MADANI.
Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memiliki lebih 28 tahun pengalaman dalam perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Sebelum ini, beliau memegang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022, di mana kepimpinannya dilihat menyerlah melalui pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025 dan Pelan Transformasi Hijau Putrajaya.
Beliau turut dikenali menerusi inisiatif kesejahteraan bandar yang menekankan prinsip inklusiviti, kelestarian dan pembangunan progresif.
Selain itu, Fadlun juga merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar serta Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dengan penglibatan aktif dalam pelbagai forum antarabangsa.
Pelantikan Fadlun menyusul selepas tempoh perkhidmatan Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur dipendekkan kepada 14 November, seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Maimunah kini dilantik sebagai Penasihat Hartanah Petronas dan bakal ditempatkan di sebuah GLC nasional yang diberikan tanggungjawab membangunkan mercu tanda baharu di ibu negara.










