Bayi Masuk Hospital Bongkar Penipuan, Suami Dakwa Isteri Masih Berstatus Isteri Orang

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mendakwa dirinya ditipu selepas mengetahui wanita yang dinikahinya rupa-rupanya masih berstatus isteri orang, meskipun mereka telah berkahwin di selatan Thailand.

Pendedahan itu dibuat melalui hantaran tular di media sosial yang menceritakan bagaimana perkenalan mereka bermula dalam sebuah kumpulan peminat Perodua Axia sebelum wanita terbabit mengaku hamil, sekali gus mendorongnya mengambil keputusan untuk berkahwin demi tanggungjawab.

Menurut lelaki itu, perkahwinan mereka dilangsungkan di Thailand kerana tidak memerlukan kehadiran ahli keluarga kedua-dua pihak.

Namun, selepas bernikah, pasangan tersebut tinggal berasingan atas alasan wanita itu mahu menjaga ibunya di Jitra, Kedah, sementara dia pula menetap di Padang Serai.

Sepanjang perkahwinan, dia mendakwa tidak pernah dibenarkan menziarahi rumah keluarga isterinya dan hanya berhubung dari jauh, meskipun telah membeli sebuah Perodua Axia untuk kegunaan wanita berkenaan serta bertindak sebagai ayah tiri kepada dua anaknya.

Segala penipuan itu terbongkar apabila bayi yang dikatakan anak mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Ketika dia cuba melawat bayi tersebut, pihak hospital tidak membenarkannya masuk kerana status anak itu tidak sah taraf dan tiada sijil lahir.

Keadaan itu menimbulkan syak sebelum keluarganya membuat semakan dan mendapati wanita berkenaan sebenarnya masih berkahwin dengan lelaki yang sebelum ini diperkenalkan sebagai ‘abang kandung’.

Lebih mengejutkan, dokumen cerai yang ditunjukkan didakwa palsu manakala kereta yang dibelinya digunakan oleh suami sebenar wanita tersebut.

Lelaki berkenaan memaklumkan bahawa laporan polis dan aduan di pejabat agama telah dibuat, dan siasatan kini sedang dijalankan terhadap pasangan terbabit.

Turut dilaporkan beberapa individu lain tampil mendakwa pengalaman serupa, termasuk kerugian ribuan ringgit dipercayai hasil taktik penipuan pasangan suami isteri itu.

BBerkaitan

Latest articles