KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah, sebagai tanda komitmen menghormati hak negeri itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap penghakiman mahkamah dan kedudukan undang-undang, bukan kerana tekanan politik mana-mana pihak.
“Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, selaras dengan nasihat Jabatan Peguam Negara bahawa hak rakyat Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih wajar dihormati,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan memulakan rundingan bagi menetapkan mekanisme pelaksanaan pemberian khas itu.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengutus surat rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memulakan rundingan teknikal tersebut.
“Kerajaan interim bukan alasan untuk melengahkan. Rundingan teknikal boleh dimulakan dahulu, manakala keputusan dasar lebih besar akan ditentukan selepas kerajaan baharu dibentuk,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan kerajaan akan mengemukakan rayuan terhadap bahagian penghakiman yang menegur kerajaan-kerajaan Persekutuan terdahulu atas dakwaan salah guna kuasa serta pelanggaran kewajipan perlembagaan sejak 1974.
Beliau menyifatkan teguran mahkamah itu sebagai antara yang paling keras pernah dikeluarkan dalam sejarah hubungan Persekutuan–negeri.
“Bila disebut tindakan ‘illegal, irrational, procedurally improper, disproportionate’, apakah kita boleh diam? Kalau ada kelemahan, kita perbetulkan. Kita selesaikan secara tertib antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak tidak sah dan gagal menunaikan tanggungjawab terhadap hak Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan antara 1974 hingga 2021.
Anwar menambah, penyelesaian terhadap isu itu akan dapat dicapai dengan lebih cepat sekiranya hubungan politik dan pentadbiran antara Sabah dan Putrajaya kekal positif.
“Kalau sikapnya positif, rundingan lancar. Kalau bermusuhan, apa pun tidak selesai. Kita sudah pun salurkan peruntukan tambahan, termasuk RM1.2 bilion di luar belanjawan awal untuk bantu rakyat,” katanya.










