KUALA LUMPUR: Seramai 55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara antara Januari hingga September tahun ini selepas disyaki menjadi ‘keldai dadah’ bagi sindiket penyeludupan antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 50 adalah lelaki manakala lima lagi wanita.
Mereka ditahan di 16 negara termasuk Indonesia (10), Singapura (9), Kemboja dan Taiwan (6), Thailand (5), Belgium, Laos dan Macau (3), Hong Kong dan Korea Selatan (2), selain masing-masing seorang di Filipina, Jepun, Jordan, Maghribi, Myanmar dan Norway.
Menurutnya, JSJN memandang serius peningkatan kegiatan penyeludupan dadah yang mempergunakan orang awam sebagai pengangkut bahan terlarang.
Sindiket dikesan mengeksploitasi mangsa dari pelbagai latar belakang termasuk belia, pelajar, pencari kerja dan individu berpendapatan rendah dengan memancing mereka melalui media sosial serta iklan kerja palsu.
“Mangsa dijanjikan upah antara RM1,000 hingga RM10,000, termasuk tawaran tiket penerbangan dan penginapan. Namun semua ini hanyalah helah untuk memperdayakan mereka membawa bagasi yang sebenarnya mengandungi dadah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, makanan, perabot kecil, peralatan elektronik, malah ada yang menggunakan kaedah body packing dan perkhidmatan kurier bagi menghantar bahan terlarang itu ke destinasi seperti United Kingdom, Eropah dan Asia Timur.
Antara jenis dadah yang kerap diseludup ialah methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi), ganja dan kokain, bergantung kepada permintaan pasaran di negara sasaran.
Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja atau perjalanan ke luar negara yang mencurigakan.
“Orang ramai perlu sedar bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak diterima oleh kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah sangat tegas, termasuk hukuman mati dan penjara,” tegasnya.
Beliau turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis menerusi talian hotline JSJN di 012-2087222.










