RAWANG: Tempoh tahanan reman terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 13 tahun di Bandar Tasik Puteri, disambung selama lima hari lagi hingga 13 November ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah sambungan reman itu dikeluarkan oleh mahkamah selepas tempoh tahanan suspek berakhir semalam.
“Kami memperoleh sambungan reman selama lima hari bermula hari ini. Suspek dijangka akan dituduh dalam minggu ini dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima laporan berhubung kejadian rogol membabitkan pelajar Tingkatan Satu sekitar jam 8.15 malam pada 2 November lalu.
Menurut Noor Ariffin, siasatan awal mendapati ibu mangsa memaklumkan anaknya dirogol oleh seorang lelaki dikenali yang juga tinggal di kawasan kejiranan sama.
Beliau berkata, semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan sebelum ini telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.










