Insiden Kekasaran Terhadap Anggota RELA, Jabatan Beri Amaran, Polis Tahan Lelaki Terbabit

KUALA LUMPUR: Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memberi amaran bahawa tindakan menghalang, mengugut atau menengking anggotanya ketika menjalankan tugas boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Dalam satu kenyataan rasmi, RELA menegaskan bahawa semua anggotanya merupakan penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan tersebut, dan sebarang bentuk gangguan terhadap mereka tidak akan dikompromi.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan insiden tular pada 4 November lalu di Terminal Bas Johor Bahru Sentral (BSI), apabila seorang anggota RELA dikasari oleh seorang lelaki selepas menegur individu terbabit agar mematuhi laluan ditetapkan semasa menggunakan perkhidmatan bas.

Menurut RELA, anggota berkenaan menunjukkan tahap profesionalisme tinggi dengan mengendalikan situasi tegang itu secara berhemah tanpa sebarang provokasi.

Jabatan tersebut turut menzahirkan penghargaan atas sikap tenang pegawainya dan berjanji akan terus memberi latihan serta bimbingan berterusan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, memaklumkan polis telah menahan lelaki berusia 31 tahun yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Suspek yang bekerja sebagai pembantu keselamatan memiliki satu rekod lampau, namun ujian air kencingnya disahkan negatif dadah.

Kes itu kini disiasat lanjut, dan orang ramai dinasihatkan agar menghormati anggota RELA yang bertugas demi kelancaran serta keselamatan di kawasan awam.

BBerkaitan

Latest articles