Pasukan Pembelaan Najib Tekankan Sekali Lagi Mengenai Keterangan Pendakwaan Bersifat ‘Double Hearsay’ Dalam Kes 1MDB

KUALA LUMPUR, — Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Hasnal Rezua Merican, menegaskan sekali lagi bahawa keterangan utama yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersifat double hearsay dan tidak seharusnya diterima oleh mahkamah.

Beliau berkata, berdasarkan hujahan yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini bahwa , keterangan yang diberikan oleh saksi utama seperti Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi adalah tidak boleh dipercayai kerana hanya berdasarkan maklumat yang didengar daripada Low Taek Jho (Jho Low), yang pula mendakwa menerima arahan daripada Najib.

“Ini bukan sekadar hearsay, tetapi double hearsay. Shahrol mendengar daripada Jho Low, dan Jho Low pula mendakwa mendengar daripada Datuk Seri Najib. Jho Low sendiri tidak hadir ke mahkamah untuk disoal balas,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.

Menurut Hasnal dua kes rujukan dari Selatan Australia turut dikemukakan oleh pasukan pembelaan bagi menyokong hujahan bahawa double hearsay atau second-hand hearsay tidak boleh dijadikan asas dalam sesuatu pendakwaan.

Tambahnya pasukan pembelaan turut berhujah bahawa andaian yang digunakan oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM tidak boleh dipakai sekiranya fakta asas yang dijadikan sandaran tidak dibuktikan sepenuhnya.

“Pendakwaan perlu terlebih dahulu membuktikan fakta asas (basic facts) secara jelas. Andaian tidak boleh dibuat ke atas fakta yang masih belum dibuktikan,” katanya.

Hasnal menjelaskan, hujahan tersebut menunjukkan bahawa pihak pendakwaan tidak boleh menggunakan “jalan pintas” dalam membuktikan dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh anak guamnya.

Hubungan dengan Arab Saudi dijadikan bukti sokongan

Menjawab persoalan mengenai sumbangan dana yang diterima Najib, Hasnal berkata pembelaan menegaskan bahawa wang berkenaan datang daripada keluarga diraja Arab Saudi, bukan hasil penyelewengan 1MDB.

Beliau berkata, Tan Sri Shafee turut membangkitkan fakta bahawa ketika isu 1MDB memuncak dan menjadi perhatian umum, Raja Salman Abdulaziz Al Saud tetap melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia serta dilihat bergambar mesra dengan Najib.

“Gambar tersebut menunjukkan hubungan baik antara kedua-dua pemimpin. Tiada tanda-tanda kemarahan atau rasa kecewa daripada pihak Arab Saudi,” katanya, sambil menambah bahawa hasil siasatan SPRM dan PDRM di Arab Saudi juga selari dengan pembelaan tersebut.

Keberadaan Jho Low masih misteri

Hasnal turut menarik perhatian terhadap kegagalan pihak pendakwaan mengesan Jho Low, walaupun perbicaraan telah berlarutan selama tujuh tahun.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan keberadaan Datuk Adlan Berhan, menantu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan dapat dikesan di Emiriah Arab Bersatu.

“Kalau Adlan Berhan boleh dikesan melalui gambar dan lokasi, mengapa tidak Jho Low yang berprofil tinggi dan dikenali di seluruh dunia?” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa nama Jho Low telah dikeluarkan daripada red notice Interpol, menimbulkan persoalan sama ada individu berkenaan masih diburu secara aktif oleh pihak berkuasa.

Dalam papada itu, Hasnal berkata, perbicaraan kes 1MDB yang kini memasuki fasa akhir dijadualkan untuk keputusan pada 26 Disember 2025, dan pihak pembelaan yakin mahkamah akan mempertimbangkan segala hujahan dengan adil dan berdasarkan prinsip undang-undang.

“Kami percaya kebenaran akan terbukti dan keadilan akan berpihak kepada anak guam kami,” katanya – TRI

BBerkaitan

Latest articles