Sumber Dedah Zahid Beri Lampu Hijau Untuk KJ Sertai Semula UMNO, Jadi Calon PRU

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dikatakan semakin hampir untuk menyertai semula UMNO, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung hujung bulan depan.

Menurut sumber dalaman parti, bekas Ahli Parlimen Rembau itu telah mendapat restu daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri untuk kembali ke pangkuan parti yang pernah diperjuangkan sejak sekian lama.

Difahamkan, ‘isyarat hijau’ itu diberikan secara peribadi oleh Zahid kepada Khairy ketika kedua-duanya bertemu pada majlis perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, Ahad lalu.

“Zahid secara terbuka meminta Khairy menghantar semula borang keahliannya. Malah, beliau dijangka akan membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) di PRN Sabah nanti,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu turut mendedahkan, nama Khairy turut dipertimbangkan untuk menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, berkemungkinan di Parlimen Kepala Batas, kerusi tradisi milik keluarga mentuanya, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun setakat ini UMNO belum menerima sebarang surat permohonan rasmi daripada Khairy, sumber dalaman parti percaya kemunculan semula tokoh muda berkarisma itu mampu menyuntik nafas baharu ke dalam parti Melayu itu terutama dalam usaha menarik semula sokongan anak muda.

Khairy, yang kini menjadi penyampai radio di Hot FM, sebelum ini dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 selepas lantang mengkritik kepimpinan parti pasca PRU15.

Namun, beliau berulang kali menegaskan bahawa kesetiaannya masih kepada UMNO, meskipun enggan menyertai mana-mana parti politik lain.

Pada PRU15, Khairy menjadi taruhan BN di kerusi Sungai Buloh, kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Walaupun tewas kepada calon PH, Datuk Seri R Ramanan, beliau berjaya mengurangkan majoriti lawan kepada hanya 2,693 undi penurunan mendadak berbanding majoriti 26,634 undi pada PRU14.

Pencapaian itu dianggap isyarat kuat bahawa pengaruh Khairy masih berbisa, malah mampu menarik sokongan pengundi luar bandar dan bandar dalam satu masa.

Sepanjang kariernya, Khairy dikenang sebagai antara menteri muda paling berprestasi dalam kabinet.

Bermula sebagai Menteri Belia dan Sukan, beliau berjaya menganjurkan Sukan SEA 2017 dengan cemerlang serta merintis Program Podium MSN untuk misi pingat emas Olimpik.

Kemudian, sebagai Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, beliau menjadi tonggak utama dalam pembangunan aplikasi MySejahtera dan program vaksinasi COVID-19.

Ketika dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Khairy memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles