KUALA LUMPUR: Satu pendedahan dibuat bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendakwa usaha menggugat kedudukan bekas Perdana Menteri itu sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya telah bermula sejak 2021 sejurus beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menurut Marzuki, tanda-tanda awal perpecahan dalam parti mula kelihatan apabila segelintir pemimpin kanan Bersatu mula menjauhkan diri dan tidak lagi menunjukkan rasa hormat terhadap kepimpinan Muhyiddin.
“Arahan beliau tidak lagi dipatuhi, mesej yang dihantar berhari-hari tidak dijawab. Malah, ada yang secara terbuka menyatakan Tan Sri Muhyiddin sudah tidak relevan,” dedah Marzuki dalam satu hantaran di Facebook.
Katanya, perubahan sikap itu berlaku kerana Muhyiddin tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan ketika itu, berbeza dengan beberapa pemimpin lain yang masih memiliki kuasa dan pengaruh sebagai menteri.
“Susah menjadi ketua parti tanpa jawatan dalam kerajaan. Kadang-kadang orang pandang sebelah mata,” katanya lagi.
Marzuki turut mendedahkan bahawa beliau pernah menasihati Muhyiddin agar bersara sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan kedudukan beliau dalam parti semakin sukar dan hubungan Bersatu dengan Pas ketika itu masih goyah.
Namun, Muhyiddin menolak cadangan itu dengan alasan beliau masih memikul tanggungjawab sebagai ketua dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kalau fikirkan diri sendiri, sudah lama beliau berhenti. Tapi katanya, takkan nak undur waktu bala tenteranya sedang berperang. Itu akan beri kesan moral besar kepada PN,” jelas Marzuki.
Beliau menambah, Muhyiddin turut menyifatkan PRU15 sebagai ‘pertarungan terakhirnya’.
“Beliau kata, ‘Kalau menang, menanglah. Kalau kalah, kalah lah. Tapi berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata.’”
Katanya lagi, gelombang sokongan terhadap Muhyiddin ketika itu digelar ‘gelombang Abah’ turut menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN, terutama selepas Pas memilih untuk kekal dalam gabungan itu.
Pendedahan Marzuki muncul di tengah-tengah pergolakan dalaman Bersatu yang semakin ketara selepas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, lantang mengkritik kepimpinan parti dan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden.
Kritikan itu menyebabkan Saifuddin digugurkan sebagai Pengerusi PN Pahang, disusuli dengan gerakan Jelajah Semarak Bersatu Fasa 1 Johor–Melaka oleh kumpulan pemimpin bahagian yang turut menuntut pengunduran Muhyiddin serta perubahan dalam barisan kepimpinan parti, termasuk Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Tun Faisal.










