KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan dua hala dengan China, sambil membuka ruang baharu bagi eksport bernilai tinggi dalam sektor strategik seperti tenaga, teknologi dan aeroangkasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tumpuan baharu itu akan digerakkan di bawah Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), sekali gus memperluas peluang Malaysia sebagai hab inovasi dan logistik utama rantau ini.
“Saya memulakan tugasan hari ini dengan pertemuan bersama sahabat saya, Premier Li Qiang, bagi membincangkan hala tuju baharu kerjasama ekonomi antara Malaysia dan China.
“Pertemuan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi juga menandakan keyakinan tinggi antara dua negara terhadap kestabilan serantau,” katanya menerusi perkongsian di platform X hari ini.
Anwar berkata, Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui serta minyak dan gas, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh daya saing negara dalam rantaian bekalan global.
Pertemuan itu berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, yang turut menyaksikan Malaysia dan rakan anggota ASEAN menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0), disusuli Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-48.
Dalam pertemuan berkenaan, Anwar turut menekankan kepentingan beberapa projek mega yang menjadi lambang kerjasama erat kedua-dua negara termasuk Projek Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim hasil kolaborasi PROTON–Geely, peluasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan kerjasama pelabuhan Malaysia–China.
“Projek-projek ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik, automotif dan maritim serantau,” jelasnya.
Beliau menambah, Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan baharu dari syarikat-syarikat China dalam sektor digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai pusat inovasi utama ASEAN.
Dalam masa sama, Anwar mendedahkan bahawa Premier Li turut menyatakan sokongan padu China terhadap Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.
“China turut memberi jaminan untuk terus memainkan peranan dalam usaha keamanan rantau ini, termasuk membantu mencari penyelesaian terhadap krisis Myanmar dan memastikan gencatan senjata dikekalkan,” katanya.
Sejak menjalin hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974, Malaysia dan China menikmati hubungan ekonomi yang kukuh dengan republik itu kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.
Pada 2024 sahaja, nilai dagangan Malaysia-China direkodkan sebanyak RM484.12 bilion, bersamaan 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global negara berjumlah RM2.879 trilion.










