Kereta Warga Emas Rempuh Dinding Kaca Stesen Minyak

PONTIAN: Seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun terselamat dengan hanya cedera ringan selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh dinding kaca sebuah kedai di Stesen Minyak Petronas Permas Kukup, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika mangsa memandu dari rumah menuju ke stesen minyak berkenaan.

“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai tersilap menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan jenis Kia Citra yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh bahagian kaca kedai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan kepada orang awam, manakala mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Mohammad Shofee turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak insiden seumpama itu.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil ke Pejabat Trafik IPD Pontian atau menghubungi Sjn Mohd Aiman di talian 013-7559321 bagi membantu siasatan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles