Anwar Puji PBB Sebagai Suara Kemanusiaan Dunia, Guterres Angkat Peranan Malaysia Di Peringkat Global

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas pendirian tegas dan kejelasan moralnya dalam mempertahankan prinsip kemanusiaan serta undang-undang antarabangsa, khususnya ketika dunia berdepan pelbagai krisis seperti kekejaman berterusan di Gaza.

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15, Anwar berkata, Malaysia amat menghargai keteguhan organisasi global itu dalam memperjuangkan multilateralisme, kebebasan dan hak negara-negara kecil serta golongan minoriti.

“PBB kekal sebagai suara kewarasan dan kemanusiaan dalam menghadapi cabaran dunia yang paling sukar,” katanya sambil menegaskan sokongan Malaysia terhadap usaha berterusan badan itu mengekalkan keamanan dan keadilan global.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB António Guterres dalam ucapannya mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam membantu menjayakan rundingan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand sebagai langkah yang disifatkannya sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap diplomasi serantau dan keamanan antarabangsa.

Guterres turut menyeru semua pihak di rantau Asia Tenggara agar memperkukuh usaha mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan dan menghormati prinsip kebebasan pelayaran selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Menyentuh krisis kemanusiaan di Myanmar, beliau mengecam keganasan yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 dan menuntut semua pihak menghentikan pertempuran serta memberi akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.

“Ribuan telah terkorban, berjuta lagi kehilangan tempat tinggal, manakala pelan bantuan kini kekurangan dana kritikal. Dunia perlu bertindak segera,” tegasnya.

Guterres turut menggesa pembebasan pemimpin politik yang ditahan, termasuk Aung San Suu Kyi, sambil memberi amaran bahawa pilihan raya ketika ini hanya akan menambah ketegangan dan ketidakstabilan di negara itu.

Dalam ucapannya, beliau juga menekankan keperluan untuk memperbaharui sistem kewangan global agar lebih adil terhadap negara membangun serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah siber dan penipuan rentas sempadan yang semakin berleluasa.

BBerkaitan

Latest articles