KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi didakwa menikmati gaji mewah mencecah RM1.2 juta setahun serta pelbagai faedah lain hasil hubungan rapatnya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, demikian dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
Peguam Datuk Tania Scivetti, yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendakwa Shahrol dilantik sebagai CEO 1MDB atas rekomendasi Jho Low, menyebabkan pendapatannya melonjak tiga kali ganda daripada RM30,000 kepada RM99,000 sebulan termasuk seorang pemandu peribadi.
Malah, beliau turut menerima bonus RM160,000 sewaktu menyertai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
“Walaupun sudah berpindah ke Unit Pemandu, dia masih menerima gaji penuh seperti CEO 1MDB. Semua ini jelas menunjukkan dia memperoleh kepuasan sendiri hasil pengaruh Jho Low,” kata Tania.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Shahrol menandatangani dokumen penting tanpa kelulusan lembaga, termasuk dua arahan pemindahan wang berjumlah AS$1.63 bilion ke akaun Aabar Investment PJS Limited, yang kemudiannya diseleweng.
Jho Low pula didakwa memperoleh hampir AS$2 bilion (RM9.4 bilion) hasil urus niaga tersebut.
Tania berhujah, Shahrol bukan saksi neutral tetapi individu berkepentingan yang kini disaman oleh 1MDB atas kecuaian dan pecah amanah.
“Dia ada setiap sebab untuk lindungi diri bukan berjuang untuk Najib seperti digambarkan pendakwaan,” katanya.
Najib kini berdepan empat pertuduhan menyalah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok.










