Kempen Earth Clean Challenge bukan agenda politik

KUNAK: Inisiatif gotong-royong membersihkan kawasan Kampung Pangkalan Laut, Kunak melalui Kempen Earth Clean Challenge membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.

Exco Pemuda Barisan Nasional Datuk Sri Dr. Anil Sandhu berkata, program anjuran Ma’haad Tahfiz Ashabul Yamin itu bukanlah kempen politik, sebaliknya satu usaha murni memupuk kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dan kesihatan komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kita harus faham, kalau persekitaran kita tidak bersih, bagaimana kita mahu hidup sihat dan menikmati udara segar. Ini bukan taktik politik, tetapi satu gerakan masyarakat untuk membudayakan kebersihan,” katanya ketika ditemui pada program itu, semalam.

Beliau menegaskan, semangat gotong-royong itu perlu diteruskan sebagai program tahunan, tanpa mengira keputusan pilihan raya.

“Insya-Allah, selepas PRN nanti sama ada menang atau kalah —kempen seperti ini akan terus dilaksanakan sebagai inisiatif tahunan untuk daerah Kunak,” katanya selaku penaja program tersebut.

Menurut beliau, program berkenaan berjaya menghimpunkan kira-kira 100 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar tahfiz, pelajar tingkatan enam, wakil Sahabat YPM serta penduduk setempat.

Turut hadir Ustaz Junaidy@Jeffrey Abdul Nasir, Pengasas Ma’haad Tahfiz Ashabul Yamin dan Nurgajir Noor, wakil Sahabat YPM yang bersama-sama menyertai aktiviti gotong-royong berkenaan.

Anil menjelaskan, kempen itu adalah kali kedua dianjurkan dan dilihat mampu menyemai budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat Kunak.

Program itu turut dikaitkan dengan tiga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 6 (Clean Water and Sanitation), SDG 13 (Climate Action) dan SDG 14 (Life Below Water) yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan sumber air bersih.

Selain membersihkan kawasan perkampungan yang tidak mempunyai sistem saliran sempurna, inisiatif tersebut juga bertujuan menarik perhatian masyarakat agar lebih prihatin terhadap persekitaran dan menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup.

Beliau dalam pada itu turut mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk lain di seluruh Kunak agar berganding bahu dalam usaha memelihara alam sekitar dengan tema “Kita Bina Balik Kunak.”

“Saya menyeru masyarakat dan NGO lain untuk turun membantu membersihkan mana-mana kawasan yang terjejas dan kotor. Ini tanggungjawab bersama demi kesihatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Kempen berkenaan bukan sahaja mencerminkan komitmen masyarakat terhadap kebersihan, malah membina kesedaran kolektif bahawa kesejahteraan komuniti bermula daripada persekitaran yang bersih dan lestari.

BBerkaitan

Latest articles