PETALING JAYA: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekolahnya dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, minggu lalu.
Tertuduh, yang merupakan pelajar kelas peralihan (Tingkatan Satu), tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya kira-kira jam 8.30 pagi dengan kawalan ketat pihak polis.
Beliau dibawa menaiki kenderaan polis sebelum diiringi beberapa anggota melalui laluan khas menuju ke kamar mahkamah.
Prosiding bermula sekitar jam 10 pagi dan dijalankan secara tertutup mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi identiti tertuduh dan mangsa.
Ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal, remaja itu hanya mengangguk tanda faham.
Difahamkan, kedua ibu bapanya turut hadir ketika prosiding berlangsung.
Menurut pertuduhan, pelajar berkenaan didakwa membunuh rakan sekolahnya, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, di tandas perempuan sekolah berkenaan antara 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Namun, bagi pesalah bawah umur, hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan ialah penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengendalikan pendakwaan, manakala peguam Anwar Ezzad Zainal mewakili tertuduh.
Tiada jaminan dibenarkan.
Mahkamah menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.
Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah turut diperketat, dengan petugas media yang menunggu seawal 6.30 pagi tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan prosiding.
Tertuduh kemudian dibawa keluar melalui laluan khas bagi mengelak daripada dirakam pihak media.